CIK GADIS BUNGA 2

13:52



ARJUNA sangat mengantuk namun tidurnya diganggu oleh suara perempuan yang sejak tadi memberi salam. Bantal di tepinya segera diambil untuk menekup kedua telinganya. Arjuna tidak rela tidurnya dibazirkan begitu sahaja. Lantaklah nak beri salam sampai ke petang, Arjuna tidak kisah. Yang penting, waktu tidur yang cukup untuknya adalah lebih penting.
“Memekak je pagi-pagi! Orang nak tidur pun susah.”
Kali ini bunyi salam semakin kuat. Dan semakin itulah tidur Arjuna terus terganggu. Arjuna bingkas bangun sambil menggaru-garu kepalanya yang pening memikirkan gerangan yang bertandang ke rumahnya seawal pagi ini. Pelik juga, ke mana semua orang di dalam rumah ini? Takkan semua dah keluar? Pembantu rumah pergi ke mana?
Arjuna menuruni anak tangga satu persatu dek kerana matanya yang masih kelihatan samar-samar lagi. Disebabkan penerbangannya dari Amerika Syarikat semalam, Arjuna memerlukan rehat yang panjang.
“Nenda! Nenda!” panggil Arjuna.
“Abang Aqmar! Abang!” panggil Arjuna lagi.
Semuanya tidak berjawab. Aik! Ke mana mereka ni semua?
“Mak Mona! Oh…mak Mona?” Arjuna memanggil pembantu rumahnya.
Arjuna sudah sampai ke tingkat bawah rumahnya. Mahu atau tidak, Arjuna terpaksa menuju ke pintu utama untuk melihat gerangan yang datang menganggu tidurnya pagi-pagi ini. Arjuna mengeliatkan leher dan bahunya terlebih dahulu sebelum membuka pintu kerana rasa lelahnya masih lagi belum hilang.
“Assalamualaikum!”
Dan…pintu pun terbuka namun hanya sekilas sahaja. Belum sempat aku ingin menyapa, pintu sudah ditutup semula. Aik?
“Assalamualaikum!” kali ini aku bersuara tegas.
“Waalaikumsalam. Nak apa? No salesgirl!” jawabnya macam peluru machine gun.
Bukkk! Pintu ditutup kasar semula. Aku pelik dan kaku. Sah! Memang petanda tak baik. Apahal pulak aku tiba-tiba jadi salesgirl pulak ni? Tak guna betul mamat tu! Macam baru bangun tidur je! Hisyy..geramnya aku. Suka hati pulak dia tutup pintu macam tu. Habis bunga Datin Sri Nona ni nak campak kat mana?
………………………..
            Hemmm…baru puas hati aku. Kan dah kena sembur pagi-pagi. Tak ke sia-sia. Silap pilih rumah la kawan. Arjuna mengatur langkahnya menuju ke biliknya semula.
            “Hah! Ayish! Baru bangun tidur? Nak ke mana pulak tu?” tegur Datin Sri Nona apabila terlihat cucu bongsunya itu.
            “Alaa…nenda ni. Ayish penat lagi. Ayish nak sambung tidur. Entah siapa yang datang tiba-tiba je pagi-pagi ni. Salesgirl kut? Nenda jangan risau. Ayish dah suruh dia pergi.
            Arjuna menghampiri nendanya lalu mengucup pipi nendanya. Arjuna terus berlari menaiki tangga untuk menuju ke biliknya kerana dia tahu nendanya sekejap lagi akan marah kepadanya.
            “Ayish!!!” jerit Datin Sri Nona pagi-pagi. Awal-awal lagi test vocal disebabkan cucunya yang agak nakal ini. Suka benar dia mengusik nendanya ini.
            Bertuah punya cucu. Mandi pun belum, ada hati nak cium aku. Ayish…Ayish…bilalah nak matang? Datin Sri Nona hanya tersenyum.
            “Assalamualaikum.” Datin Sri Nona kenal suara itu.
            Laa…pasti itu Juleeya. Ayish dah salah faham nampaknya. Kesian Juleeya sebab menghadap cucu aku yang nakal tadi tu. Datin Sri Nona terus menuju ke pintu utama untuk membuka pintu.
            “Waalaikumsalam.” Jawab Datin Sri Nona sebaik sahaja membuka pintu lalu menghadiahkan senyuman manis kepada Juleeya.
            “Saya minta maaflah sebab hal tadi. Itu cucu bongsu saya. Dia tu memang nakal orangnya. Dia baru je balik dari US semalam. Masih penat lagi katanya. Mari masuk Juleeya.” Jemput Datin Sri Nona dengan mesra.
            “Oh…patutlah dia tak kenal. Takpe. Saya faham.”
            Ceh! Cucu dia yang seorang lagi rupanya. Nakal? Yelah sangat nakal! Tapi kurang ajar betul! Tak macam Aqmar. Totally different!
……………………………..
            “Hah..Aqmar, mana adik kamu ni? Dari tadi nenda tak nampak batang hidung dia? Ni dah waktu makan malam, takkan tak turun-turun lagi.” Soal Datin Sri Nona kepada Aqmar.
            “Tak tahulah. Ehmm..Mak Mona dah panggil Ayish turun makan?”
            “Mak Mona dah panggil tadi tapi katanya kejap lagi.”
            Mak Mona berasa bimbang melihat raut wajah Datin Sri Nona yang sudah masam mencuka itu. Bukan apa, semua orang di dalam rumah ini sudah sedia maklum dengan perangai Ayish yang begitu berbeza sekali abangnya, Aqmar.
            “Kalau macam tu, biar Aqmar je pangil dia Nenda. Ayish tu kalau tak dipanggil berkali-kali, takdenya nak turun.” Ujar Aqmar.
            Datin Sri Nona hanya berdiam diri. Baginya, makan malam rasanya tidak akan lengkap jika tidak sebuah keluarga yang menghadirinya. Walaupun dia tahu hanya mereka bertiga sahaja yang akan makan malam bersama, sekurang-kurangnya mereka mempunyai pertalian darah yang kuat.
            Aqmar berlalu naik ke atas.
            “Hemm…Aqmar ni selalu saja mengalah dengan si Ayish tu. Sebab tu la Ayish tu jadi manja. Sikit-sikit nak bergantung dengan abangnya saja. Tak tahulah bila nak matang budak Ayish tu.” omel Datin Sri Nona kepada Mak Mona.
            “Kita bersabar sajalah dengan kerenah dia. Mungkin dia nak bermanja dengan Datin Sri dan juga abang dia. Yelah, Ayish kan baru balik dari US tu.”
            “Harap-haraplah. Saya bukannya apa. Aqmar tu selalu saja ikut kehendak si Ayish tu. Nak itu, dibagi. Nak ini, pun dibagi juga. Entah bila Ayish tu berusaha nak berdikari sendiri.”
            “Saya pasti Ayish akan berubah matang nanti. Kita lihat saja.”
            Sementara, di bilik Arjuna.
            “Boleh abang masuk?”
            “Masuklah.”
            Arjuna sibuk bermain dengan X-box miliknya. Inilah permainan yang diidam-idamkannya sejak dari dulu lagi. Memandangkan dia masih tidak bekerja, terpaksalah dia meminta abangnya untuk membelikannya.
            “Ayish...jom turun makan malam. Nenda dah tunggu Ayish kat bawah tu.”
            Arjuna masih lagi asyik dengan permainan videonya.
            “Ayish..jom turun. Nanti Nenda marah.”
            “Kejap lagi la..bang.”
            Aqmar menggeleng-gelengkan kepalanya. Adik lelakinya ini hanya tahu berseronok sahaja. Kalau sudah ada permainan video di depan mata, memang benda lain tidak dihiraukannya.
            Aqmar bergerak menuju ke suis utama permainan video X-box milik adiknya lalu ditutupnya.
            “Abang! Alaa…Ayish sikit lagi nak menang.”
            “Takde ala-ala. Jom turun sebelum Nenda mengamuk. Nanti haru biru jadinya.”
            Dengan muka yang murung bagai burung belatuk, Arjuna terpaksa mengikut kata abangnya. Takut juga kalau Nendanya tiba-tiba meletup pulak. Bergegar rumah banglo ni nanti.
            Makan malam berjalan seperti biasa. Arjuna seperti biasa bijak menceriakan keadaan dengan kerenah nakalnya yang suka mengusik Nendanya.
            “Kamu ni ada-ada saja, Ayish. Sebab tu lah Nenda ni tak boleh marah kamu lama-lama. Lain kali kalau Mak Mona tu dah panggil turun, dengar cakap. Jangan nak mengelat.”
            “Okaylah. Nenda ni janganlah merajuk macam tu. Nanti taklah awet muda. Macamana nak cari calon atuk yang baru ni?”
            Aqmar hanya ketawa mendengar kata-kata adiknya. Suka benar adiknya itu mengusik nendanya. Adiknya itu sahaja yang berani mengusik Nendanya berbanding dirinya.
            “Hah! Nenda baru teringat. Nanti Nenda nak Ayish minta maaf dengan Juleeya sebab Ayish dah kecilkan hati dia.”
            Huh? Juleeya mana pulak ni? Setahu aku, dalam senarai teman-teman perempuan aku takde perempuan yang bernama Juleeya. Nak minta maaf apanya pulak?
            Aqmar beriak seperti biasa namun dalam hati tertanya-tanya jugak apa yang berlaku di antara Ayish dan juga Juleeya sampai hendak meminta maaf.
            “Juleeya tu siapa, Nenda? Ayish tak kenal pun. Macamana nak minta maaf.”
            “Juleeya tu pemilik kedai bunga Floral J yang Nenda selalu tempah untuk menggubah bunga kat dalam rumah kita ni setiap hujung bulan. Tadi pagi, dia ada datang tapi Ayish suruh dia pulang. Ingat tak yang pagi tadi Ayish cakap dengan Nenda ada salesgirl datang rumah. Itulah Juleeya. Dia bukan salesgirl. Nanti bila dia datang rumah lagi, Nenda nak Ayish minta maaf tau.”
            Barulah Aqmar faham. Rupa-rupanya hanya salah faham sahaja.
            “Oh…macam tu. Tak perasan pulak.”
            Macamana kau nak perasan sedangkan mata kau terpejam rapat! Itulah nak tidur saja. Entah-entah perempuan yang datang pagi tadi, orangnya cantik. Pemilik kedai bunga? Hemmm..mesti orangnya cantik seperti bunga. Dan..dah tentu hatinya pun penuh bunga-bunga bagai dalam taman. Arjuna hanya tersenyum-senyum tanpa disedari Aqmar sedang memerhatikannya.
            “Kalau dah tahu, jangan lupa nak minta maaf.”
            No hal la. Nenda kena bangunkan Ayish kalau dia datang nanti ya?”
            “Amboi! Budak bertuah ni. Nenda pulak yang kena bangunkan. Ayish tu dah besar panjang. Tak payah nak minta dikejutkan oleh Mak Mona, Abang Aqmar kamu ni.”
            Arjuna memuncungkan mulutnya. Namun di dalam hatinya sudah tertanya-tanya si dia yang bernama Juleeya. Hemm..macamana orangnya? Macamana aku nak minta maaf kat dia? Dahlah pagi tadi aku agak kureng ajar sikit. Hmmm…
……………………….
            Aku bengang betul dengan budak tak cukup tidur tadi tu! Disebabkan dia, kerja aku kat kedai tadi semuanya serba tak kena. Salah potonglah, salah gubahlah, salah hantarlah, salah tulislah, pokoknya semuanya aku salah buat. Tak pernah-pernah pulak aku selalu banyak buat salah dalam satu hari ni.
            “Ju ni kenapa? Macam ada masalah je?” soal Puan Jamilah. Hairan dia melihat anak perempuannya ini merungut di depan televisiyen. Selalunya kalau di depan televisyen, memang macam tak ingat dunia lagi. Lebih-lebih lagi kalau menonton Maharaja Lawak Mega. Macam nak tanggal je gigi sebab asyik nak ketawa saja.
            “Takdelah..okay. Cuma kat kedai bunga tadi, Ju banyak buat silap.”
            “Mungkin Ju ni banyak fikir kut. Tentang siapa? Boyfriend?
            “Ju mana ada boyfriend. Mak ni ke situ pulak.”
            “Habis tu, Aqmar tu?”
            “Alaa..mak ni. Aqmar tu kan cucu klien Ju. Kita berdua setakat berkawan biasa saja. Lagipun kamikan sebaya. So, lebih kepada berkawan sahaja, Puan Jamilah.” Usik ku.
            “Menjawab..memang kamu ni nombor satu. Mak tengok tu Aqmar tu orangnya matang dan baik sangat. Kesimpulannya, boleh dibuat menantu la. Mak ni berlapang dada sangat kalau nak menerima menantu tahun ni.”
            “Ewah-ewah…mak ni, ke situ pulak.”
            Sememangnya aku dan Aqmar setakat ini cuma berkawan sahaja dan tak lebih dari itu. Lagipun, kalau ya pun aku suka pada Aqmar sepatutnya lebih baik aku diamkan sahaja. Soal perasaan ni, bagi aku biarlah pihak yang di sana memulakannya dahulu. Tak gitu?
            Tapi…geram pulak bila aku teringat adik Aqmar ni! Hisy…suka hati je dia tutup pintu depan aku tadi. Kurang ajar betul mamat tu. Harap-harap nanti aku tak bertembung dengan dia kalau aku pergi ke rumahnya nanti. Sebab dia, semua kerja aku tunggang langgang semuanya.
            
P/S : Bersambung...


 


You Might Also Like

0 comments

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images