Novel DATING KONTRAK! 10

13:04




OLEH : KIR@ LEE

BAB 10

                AKU merebahkan diriku di atas katil. Aku cuba melelapkan mata untuk menghilangkan rasa penatku. Dalam satu hari, terlalu banyak perkara yang berlaku kepada diriku. Kalau aku ni ada bakat untuk mengarah filem, tentu aku dah boleh buat filem yang bertajuk ‘ My Worst Day’. Macam-macam aku rasa hari ini. Marah, kesal, suka, gembira, pahit, manis, bak kata Astro…macam-macam ada! 

Aku pusingkan badanku ke kiri. Aku mengeluarkan telefon bimbit kesayangan ku lalu ke lekapkan ke pipiku untuk melepaskan rindu. Tidak dilupakan juga fon telinga lalu ku sumbat ke dalam telinga untuk memudahkan aku mendengar lagu . Dah rindu sangat nak dengar lagu Korea dalam playlist telefon bimbit aku ni. Aku menguatkan volume telefon bimbitku. Sudah menjadi kebiasaan bagi aku untuk mendengar lagu dengan bunyi yang kuat supaya aku boleh hilangkan segala masalahku.

Qhaliff?? Ahhh…disebabkan dia, tak pasal-pasal aku pulak yang jadi mangsa perempuan giler tu.  Minah tu pulak bukan main suka hati mak dia je nak tuang air kat tudung aku. Aku pun satu juga, apasal la aku boleh jadi macam patung tadi? Mungkin aku agak terkejut sebab tiba-tiba je ada serangan entah dari mana perempuan tu datang.

Nasib baik juga ada si Qhaliff tu tolong aku. Tapikan, kalau tak silap aku la…Qhaliff tadi ada buat pengakuan yang aku ni future wife dia! Wooo! Macamana kalau perempuan tu percaya dan nanti dia serang aku semula? Ini tak boleh jadi ni? Aku mula mengeluh kerisauan.

Lamunanku terus terhenti disebabkan deringan telefon bimbitku. Ishhh….mamat giler ni lagi? Mamat ni tak pandai serik-serik lagi ke? Nak tak nak aku terpaksa menjawab panggilan dari Adam.

“ Hello, Anith.” Ucap Adam.

“ Ehmm…kau nak apa lagi? Boleh tak kau jangan ganggu aku lagi! Kita dah takde apa-apa lagi!” bentakku. Lantaklah! Biar dia sakit telinga.

“ Anith, saya tak percaya yang awak dah ada teman lelaki? Saya tahu yang awak masih cintakan saya lagi. Saya tahu kejadian petang tadi tu cuma lakonan awak saja kan? Saya dah tahu semuanya Anith. Saya dah tanya kawan sekerja awak. ” Adam masih tidak berpuas hati.

“ Ok la Adam. Suka hati kau la nak percaya atau tak? Tapi, aku nak beritahu kau yang lelaki petang tadi memang betul-betul teman lelaki aku! Faham! Kalau kau ganggu aku lagi, aku akan call teman lelaki aku. Biar dia yang ajar kau cukup-cukup!” aku terus mematikan talian tanpa berlengah. Fuhh!! Aku menarik nafas lega.

Betul ke apa yang aku buat ni? Secara tak  langsung, aku pun dah turut melibatkan nama Qhaliff. Entah la kenapa aku boleh main declare pada Adam yang Qhaliff tu teman lelaki aku. Adam nak percaya atau tidak, terpulang la, lantaklah dia.

Sekali lagi, telefon bimbitku berdering. Apasal dia ni masih call-call aku lagi. Tak cukup lagi ke tumbukan dari si Qhaliff tadi? Malas la nak layan. Buat sakit telinga aku je nak dengar suara dia. Aku hanya membiarkan sahaja deringan telefon bimbitku berbunyi.

“ TUKKK!!!! Anith! Kau dah tidur ke?” laung Diana dari luar bilik.

“ Tak! Masuk la!” balasku. Diana memulas tombol kepala pintu bilikku. Perlahan-lahan Diana melangkah masuk ke bilikku lalu melabuhkan duduk di birai katil.

Deringan lagu Rain Sound dari kumpulan idol Korea B.A.P terus berkumandang di telingaku. Aku tahu mesti si Adam tu yang telefon aku. Lantaklah dia! Biar habis kredit telefon dia. Aku menarik keluar fon telingaku yang sudah ku sumbat di dalam telinga tadi.

“ Anith…aku..nak cakap sesuatu dengan kau. Tapi, janji kau jangan marah ekkk.” Adu Diana perlahan. Riak wajah Diana yang seperti orang bersalah membawa pelbagai persoalan di benak fikiranku. Kenapa pulak dengan si Diana ni? Dia dah buat salah apa dengan aku? Setahu aku, takde pun aku dengan dia bergaduh.

Diana yang melihat aku termenung, terus menggerakkan bahuku perlahan untuk menyedarkan aku. Aku tersedar cepat. Diana masih memandangku dengan pandangan simpati.

“ Apa dia? Cakaplah.” Ujarku ringkas.

“ Sebenarnya tadi petang, aku ada terserempak dengan seseorang. Lelaki tu desak aku nak tahu tempat tinggal kau. Aku apalagi..aku pun marah dia puas-puas sampai tak sedar yang aku dah terlepas cakap tentang alamat rumah kita. Dan dia juga tanya betul ke yang kau dah ada kekasih bernama Qhaliff? Aku terkejut besar babe sebab dia pandai-pandai reka cerita macam tu kat kau. Aku pun cakap la kat dia yang kau masih single sampai sekarang. Aku betul-betul takde niat nak bagitau lelaki tu. Aku pun tak tahu macamana dia kenal kau?” Panjang lebar Diana menjelaskan.

Aku sudah tahu gerangan siapa yang dimaksudkan oleh Diana. Tentunya si Adam keparat tu! Aku menampar kasar bantal yang berada di atas katilku. Tak habis-habis betul dia ni! Kenapa dia ni suka sangat nak cari pasal dengan aku? Aduiii…masalah betul la. Sekarang ni mamat giler tu dah tahu status aku sekarang. Nanti, esok-esok mesti dia datang ke rumah aku pulak. Ahh…sudah! Apa aku nak buat sekarang ni? Aku nak minta bantuan dari siapa? Kepalaku ligat mencari idea. Siapa? Lelaki mana yang sudi jadi boyfriend aku dalam masa yang singkat macam ni? Takkan la aku kena minta bantuan dari Qhaliff?

“ Takpe la Dee. Aku faham.” Ucapku lemah.

“ Ehmm…kalau kau ada apa-apa masalah, kau cerita la kat aku. Aku sudi dengar.” Luah Diana.

“ Ehmm…ok. Terima kasih sebab kau selalu ada bila aku ada masalah.” Ucapku.

“ Macam tu lah. Ok la. Aku masuk bilik dulu. Selamat malam.” Ujar Diana. Diana berlalu pergi dari bilik ku. Aku merebahkan kembali badanku ke atas katil. Nikmatnya…

“ Astagfirullah!!!! Aku lupa nak bayar makanan tadi!” jerit Anith di dalam bilik sambil menepuk dahi. Anith menggeleng-gelengkan kepalanya. Ahh…macamana aku boleh lupa bayar pulak? Takkan la aku nak ke hotel tu semula?” pening Anith memikirkannya. Akhirnya, Anith tertidur tanpa sedar air mata mula mengalir perlahan.

…………………………………………………….

            Qhaliff naik pusing memikirkan hal yang terjadi tadi. Kalau la Qhaliff ni bergelar seorang pelakon, sah-sah beritanya terpampang di dada akhbar atau lebih tepat lagi ‘front page’ berita hiburan. Tapi, bimbang juga akan timbul khabar-khabar angin yang tidak diingini tentang hal tadi. Masakan hal tadi tidak mencuri perhatian orang ramai. Pastinya, para pekerja Qhaliff yang menjadi saksi kepada kejadian petang tadi.
            “ Tapi….macamana dengan Anith? Mesti Anith tengah sedih sekarang? Kalau bukan sebab aku yang belanja Anith kat sana, mesti tak jadi benda ni. Arghh!!! Ini semua gara-gara Ellysa!” Bisik hati Qhaliff yang simpati dengan nasib Anith.

I-phone yang diletakkan di atas meja tidur diambil Qhaliff. Terukir satu senyuman dibibirnya ketika memandang telefon bimbitnya itu. Qhaliff serta merta merebahkan badannya di atas katilnya yang bersaiz King. Terkejut Qhaliff apabila melihat panggilan missed called yang banyak. Siapa lagi kalau tak bukan mamanya dan juga Ellysa.

Cehh!! Qhaliff mencebik. Si Ellysa ni selalu je menganggu aku. Kat mana-mana pun dia ada! Tapi….kenapa pulak mama call aku banyak kali? Tak pernah-pernah mama call aku banyak kali dalam sehari? Ni dah sampai berpuluh-puluh missed called dari mama.

Pantas saja jari Qhaliff mendail semula nombor telefon mamanya. Mesti ada hal yang penting? Itu fasal mama telefon aku banyak kali. Sayang, telefon bimbit aku berada di tangan orang lain. Tentu mama risau. Qhaliff membetulkan pembaringannya di atas katil sambil menunggu panggilan telefonnya berjawab.

“ Assalamualaikum, mama.” Sapa Qhaliff di hujung talian.

Puan  Sri Hamidah akhirnya boleh tersenyum lega apabila mendengar suara anak terunanya ini. Rasa rindu yang ditanggungnya kini dapat diluahkan kepada Qhaliff. Bukan itu sahaja, pelbagai persoalan yang berlegar di minda Puan Si Hamidah juga akan dapat dijelaskan sebentar lagi.

“ Waalaikumsalam, Qhal. Rindunya mama pada kamu. Kenapa Qhal tak jawab semua panggilan mama? Qhal sibuk sangat ke sampai panggilan telefon dari mama, Qhal tak angkat?” luah Puan Sri Hamidah yang sedikit kecewa terhadap Qhaliff. Mana tidaknya, setelah apa yang diberitahu Ellysa kepadanya beberapa hari yang lalu, membuatkan Puan Sri Hamidah nekad untuk menelefon Qhaliff. Berkali-kali Puan Sri Hamidah menelefon anaknya itu, malangnya semua panggilannya tidak berjawab.

“ Mama janganlah cakap macam tu. Actually, telefon bimbit Qhal rosak. Jadi, Qhal hantar pergi kedai untuk dibaiki. Qhal minta maaf sangat sebab Qhal dah risaukan mama.” Luah Qhal pada Puan Sri Hamidah. Qhaliff sudah menganggak akan sikap mamanya yang mudah sensitif. Bersungguh-sungguh Qhaliff menerangkan walaupun sebenarnya penjelasannya itu direkanya sendiri. Mana boleh Qhaliff menceritakan hal yang sebenarnya. Lagi la mamanya naik risau pulak.

Puan Sri Hamidah kembali ceria semula. Penjelasan yang diluahkan oleh anaknya itu membuatkan hatinya menarik nafas lega. Cuma, kini otaknya memikirkan hal yang diberitahu Ellysa kepadanya. Benarkah Qhaliff sudah mempunyai teman wanita? Siapakah gadis itu? Jika benar, mengapa Qhaliff merahsiakan darinya? Ya! Puan Sri Hamidah tidak sabar untuk bertanyakan tentang soalan itu.

“ Ohhh…mama faham sekarang. Kesian anak mama. Ehmm..Qhal, mama ada benda nak tanya kamu sesuatu ni. Tapi, mama tak nak cakap kat dalam telefon. Mama nak jumpa Qhal. Esok! Boleh? Qhal makan malam kat rumah ya sayang?” Ujar Puan Sri Hamidah.

“ Ok! Esok malam, Qhal makan kat sana. Okey la, mama. Qhal nak mandi dulu. Esok malam kita jumpa. Love you. Assalamualaikum.” Ucap Qhal manja pada Puan Sri Hamidah.

Puan Sri Hamidah tersenyum mendengar suara manja dari anak lelakinya itu. Qhaliff sebenrnya memang manja bila berada disampingnya. Cuma, bila di luar sahaja Qhaliff akan bersikap dingin atau lebih tepat lagi seorang yang serius. Faham benar sikap anaknya itu.

……………………………………………

ARGHHHHH!!!!!!! Ellysa menjerit sekuat hati di dalam biliknya. Rasa sakit hati yang ditanggungnya masih belum hilang lagi. Peristiwa petang tadi benar-benar menyakitkan hatinya. Ellysa bergerak menuju ke meja soleknya. Habis semua alat soleknya dibuang kasar sehingga jatuh ke bawah. Tidak puas hati dengan itu,Ellysa menuju ke katilnya lalu mencampak semua bantal-bantalnya ke bawah.

Datin Erina cukup tersentak mendengar jeritan nyaring yang berada di tingkat atas. Sudah pasti anak perempuannya itu sedang mengamuk. Datin Erina mengenang kembali beberapa minit yang lalu. Sebaik saja kaki Ellysa melangkah masuk ke dalam rumah, tiada satu senyuman pun yang diberikannya. Yang ada cuma satu riak wajah yang penuh kemarahan. Pembantu rumah yang menyambut kepulangannya juga dirempuh kasar oleh Ellysa. Bahkan kehadiran Datin Erina di ruang tamu langsung tidak dipandang oleh Ellysa.

Apa sebenarnya yang sudah berlaku pada Ellysa? Siapa yang menyebabkan kemarahan anaknya itu? Naik risau Datin Erina memikirkan perihal anaknya itu. Hendak ditanya nanti, takut lain pulak jadinya. Nak mengadu pada suami, selalu saja tiada. Maklumlah, Dato Kamaruddin selalu saja berada di luar negara atas urusan perniagaan.

Hati tua Datin Erina semakin gusar mendengar bunyi-bunyi bising di dalam bilik anaknya itu. Tanpa berlengah, Datin Erina bingkas bangun untuk menjenguk anaknya di atas. Takut-takut kalau dibiarkan, perkara yang tidak diingini pulak berlaku. Bayangkan saja, di dada-dada akhbar kini sudah banyak kejadian bunuh diri. Cepat-cepat Datin Erina menggeleng menafikannya. Satu persatu anak tangga di langkahnya.

Usai berada di depan bilik anak perempuannya itu, Datin Erina menarik nafas dalam-dalam untuk menenangkan dirinya. Dirinya perlu berada dalam keadaan yang tenang jika ingin memujuk Ellysa yang sedang marah. Datin Erina mula mengetuk pintu bilik Ellysa setelah memastikan dirinya kembali tenang.

“ Ellysa!!! Buka pintu ni sayang!” Sesekali terdengar bunyi kaca pecah di dalam bilik Ellysa. Entah apa yang dipecahkan oleh anaknya itu. Semakin bimbang Datin Erina dibuatnya.

Ellysa yang mendengar suara mamanya di luar tidak diendahkannya. Baginya, dia perlu bersendirian buat masa ini. Tidak mahu diganggu sesiapa.

Datin Erina yang masih setia mengetuk pintu bilik Ellysa berkali-kali semakin resah kerana panggilannya tidak dibalas oleh Ellysa. Sekali lagi, Datin Erina mengetuk pintu bilik anaknya itu dengan lebih kuat.

“ Mama, please leave me alone!!!:” jerit Ellysa kuat.

Datin Erina agak terkejut mendengarnya. Anaknya itu sepertinya mempunyai masalah yang besar sehingga memerlukan masa untuk bersendirian. Datin Erina faham. Perlahan-lahan, Datin Erina menapak langkahnya menuju ke bilik tidurnya untuk memberikan anaknya itu ruang dan masa untuk bersendirian.

            “ Qhaliff! Aku takkan biarkan perempuan tu rampas kau dari aku!” itu janji Ellysa pada dirinya.


Inilah Vivy Ellysa...watak antoganis dalam cerita ni...kita tengok apa perkara jahat yang Ellysa akan buat nanti...jeng...jeng...jeng...

p/s : Bersambung...bab yang seterusnya...selamat membaca :)
http://www.penulisan2u.my/2013/07/novel-dating-kontrak-10/



You Might Also Like

0 comments

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images